Kementerian Pembangunan Usahawan Digesa Tidak Dibubar
Beberapa pihak menyeru kerajaan supaya tidak membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berdasarkan kepada kemampuan kementerian tersebut melahirkan usahawan tempatan yang berjaya, terutamanya dari golongan bumiputra.
Minggu lepas, Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, mengumumkan senarai anggota kabinet baru yang lebih kecil yang menyaksikan beberapa kementerian digugur dan digabungkan. Ini termasuklah Kementerian Pembangunan Usahawan, di mana agensi agensi yang bernaung di bawahnya dikatakan akan diserapkan ke dalam beberapa kementerian lain yang masih aktif, termasuklan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Kementerian Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar.
Antara agensi agensi yang sebelum ini bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi adalah Tekun, MARA (Majlis Amanah Rakyat), Bank Pembangunan dan SME Bank, yang kebanyakannya berfungsi menyalurkan sokongan dalam bentuk latihan dan pinjaman kewangan.
Antara yang lantang menyuarakan rasa tidak setuju ialah Datuk Maznah Hamid, yang juga pengerusi Persatuan Usahawan Wanita Bumiputra. Beliau yang memang terkenal dengan usaha membangunkan usahawan menerusi program gerak kerja dan motivasi berpendapat bahawa jika sekiranya kementerian tersebut dibubar, maka beribu ribu bakal usahawan akan mendapati diri mereka terumbang ambing tanpa sokongan.
Beliau juga mengakui telah bekerja rapat dengan kementerian tersebut dalam melaksanakanĀ program pembangunan usahawan yang telah terbukti memberikan hasil yang positif kepada industri keusahawanan, terutamanya dalam industri kecil dan sederhana.
Dalam kenyataan terbaru, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberikan sedikit harapan dengan mengatakan kerajaan akan mengeluarkan rasmi tentang status sebenar Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.


