2 Minggu Untuk Hantar Borang Cukai
Tinggal kira kira dua minggu lagi untuk rakyat Malaysia yang layak membayar cukai pendapatan untuk menghantar Borang BE 2008 kepada pejabat LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri).
Bagi mereka yang sebelum ini mengisi borang secara manual, LHDN telah menjelaskan mereka telah menghantar borang berkenaan ke alamat rumah mereka melalui pos. Ia telah dilakukan sejak Januari lalu. Manakala mereka yang sebelum ini mengisi borang cukai secara online menerusi eFiling, pejabat Hasil tidak lagi akan menghantar borang secara manual. Sebaliknya, mereka perlu sekali lagi menggunakan sistem eFiling untuk menghantar maklumat cukai pendapatan.
Sistem eFiling untuk tahun 2009 akan menggunakan nama (user ID) dan kata laluan (password) yang sama seperti tahun yang sebelumnya. Jika pengguna telah terlupa tentang nama dan kata laluan, mereka boleh mengunjungi pejabat Hasil yang terdekat untuk mendapat bantuan bagi mendapatkan kata laluan yang baru.
Tarikh akhir penghantaran untuk borang BE 2008 (untuk mereka yang bekerja tanpa sumber pendapatan dari bisnes) adalah 30 April 2009 manakala borang B 2008 (pendapatan melalui perniagaan) adalah 30 Jun 2009.


