Pinjaman/Biasiswa Mara: Semakan & Pembayaran
Bagi mereka yang mendapat pinjaman dan biasiswa MARA (Majlis Amanah Rakyat), selain daripada penyata pinjaman yang dihantar oleh MARA menerusi pos, anda juga boleh menyemak baki pinjaman dan penyata secara online di laman web MARA. Kemudahan ini membolehkan pengguna menyemak baki Biasiswa, Pinjaman Pelajaran, Pinjaman Komputer serta penyata tahunan semasa secara cepat dan tepat.
Untuk peminjam dan penerima biasiswa yang kali pertama melawat laman MARA tersebut, anda perlu mendaftar sebagai pengguna baru dengan memilih nama pengguna (username) dan kata kunci (password).
Selain daripada menyemak baki dan penyata, anda juga boleh membuat pembayaran balik secara online. Antara langkah pembayaran yang boleh digunakan untuk pembayaran pinjaman/biasiswa MARA ialah menerusi Maybank2u, BCB dan Bank Islam (BIMB). Kemudahan pembayaran online ini dinamakan MARA e-bayar. Malah e-bayar juga merangkumi bayaran sewa tapak niaga dan ruang kilang. Bayaran menerusi Maybank2u dan Bank Islam adalah RM1 manakala bayaran menerusi BCB adalah 50 sen sahaja.
Selain daripada pembayaran online, anda juga boleh membayar di kaunter BSN dan juga Bank Islam (BIMB) dengan mengisi slip pembayaran secara manual seperti proses deposit wang seperti biasa. Cara lain yang paling popular serta yang terawal diperkenalkan adalah kemudahan pembayaran menerusi kaunter Pos di cawangan cawangan utama di seluruh negara.
Kemudahan Mara e-bayar memberi peluang kepada penerima pinjaman MARA untuk membuat pembayaran dengan lebih mudah dan cepat. Untuk panduan mengenai semakan & pembayaran balik pinjaman sila lawati laman web rasmi MARA.
10 Tip Temuduga Kerja (bah 2)
6. Ambil tahu jenis temuduga yang bakal anda lalui.
Adalah penting untuk anda mengetahui jenis temuduga yang bakal anda hadiri untuk membolehkan anda membuat persediaan yang rapi dan secukupnya. Persediaan yang rapi membolehkan anda memposisikan diri anda untuk memberi kelebihan berbanding calon temuduga lain.
Adakah temuduga anda merupakan temuduga secara perseorangan (1 to 1)? Adakah ia temuduga secara berpanel dan berkumpulan? Persediaan untuk menghadapi kedua dua jenis temuduga ini adalah berbeza. Jika temuduga itu adalah secara perseorangan, persediaan untuk menghadapinya lebih mudah. Ini kerana temuduga secara perseorangan tidak akan berlangsung terlalu lama. Paling lama pun dalam 2-3 jam. Jadi kita boleh menumpukan persediaan kita terhadap topik yang bakal dibincangkan. Manakala temuduga secara berkumpulan akan membabitkan soalan dalam pelbagai aspek, terutamanya jika temuduga berkumpulan itu memakan masa yang lama dan membabitkan beberapa sesi temuduga.


