PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional)
PTPTN atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional telah ditubuhkan pada tahun 1997 untuk secara fokusnya memberikan kemudahan pinjaman kepada pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
PTPTN juga berfungsi untuk mentadbir pembayaran semula pembiayaan dan pinjaman pelajaran. Kemudahan pinjaman PTPTN memberi ruang subsidi kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk menaja sendiri yuran peperiksaan serta kos sara hidup di IPT.
Syarat Syarat Pinjaman
Untuk membolehkan anda layak menerima pinjaman dari tabung PTPTN, syarat syarat di bawah hendaklah dipenuhi:
- Warganegara Malaysia
- Merupakan pelajar sepenuh masa peringkat Ijazah dan Diploma
- Tidak mempunyai penganjur serta tidak menerima pembiayaan dari institusi lain
- Pelajar yang melanjutkan pelajaran di peringkat Sijil, Pra dan Matrikulasi tidak layak memohon
Bagaimana Memohon?
Mulai 15 Jun 2007, PTPTN akan melaksanakan kaedah permohonan pinjaman online bagi menggantikan permohonan menggunakan Borang OMR untuk semua pelajar bagi peringkat pengajian berikut:
- Diploma di IPTA, IPTS dan Politeknik
- Ijazah Sarjana Muda di IPTA dan IPTS
- Ijazah Sarjana, Ph.D dan Profesional di IPTA
- Kursus Separuh Masa, Jarak Jauh dan seumpamanya di IPTA
Permohonan pinjaman boleh dilakukan dengan melayari laman web e-Pinjaman PTPTN
Pinjaman Kedua
Pelajar yang telah mendapat pinjaman PTPTN untuk pengajian yang terdahulu tetapi gagal menamatkan pengajian boleh memohon pinjaman kedua untuk meneruskan pengajian mereka setelah hutang terdahulu diselesaikan.
Pelajar yang telah mendapat pinjaman PTPTN dan berjaya menamatkan pengajian yang terdahulu boleh memohon pinjaman untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Permohonan untuk peringkat pengajian yang sama tidak akan dipertimbangkan.
Pertimbangan bagi pinjaman kedua akan dibuat sekiranya peruntukan mencukupi.
Bayaran Balik Pinjaman
Tempoh pembayaran balik pinjaman PTPTN adalah seperti berikut:
- RM10,000 dan ke bawah – 60 bulan
- RM10,001 hingga RM22,000 – 120 bulan
- RM22,001 hingga RM50,000 – 180 bulan
- RM50,001 ke atas – 240 bulan
Sebelum Disember 2003, penerima pinjaman perlu membayar kos pentadbiran sebanyak 4% setahun tetapi bermula Januari 2004 kos pentadbiran diturunkan kepada 3%. Kos ini akan dikira setelah 6 bulan tamatnya pengajian pelajar yang menerima tajaan. Bagi yang inginkan penangguhan pembayaran kepada PTPTN, penangguhan boleh dipertimbangkan kepada mereka yang gagal dalam mendapatkan pekerjaan dengan menulis surat rasmi kepada PTPTN. Walaubagaimanapun, dalam proses penangguhan ini, kos pentadbiran akan berjalan seperti biasa.
Pengecualian Pembayaran Semula
Pengecualian daripada membayar balik pinjaman hanya boleh dipertimbangkan kepada peminjam yang mendapat kelulusan Kelas Pertama Peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi kelulusan pinjaman sebelum 1 Julai 2005 SAHAJA dengan mengemukakan permohonan rasmi ke PTPTN.
Untuk membolehkan surat pelepasan bayaran balik dikeluarkan, pelajar-pelajar berkaitan dikehendaki mengemukakan kepada PTPTN dokumen-dokumen berikut yang telah disahkan oleh Bahagian Akademik IPTA atau IPTS masing-masing :
- Salinan keputusan peperiksaan setiap semester pengajian
- Salinan Ijazah Kepujian Kelas Pertama atau surat yang mengesahkan pencapaian pelajar adalah setaraf dengan Ijazah Kepujian Kelas Pertama.
One Stop Center
PTPTN telah membuka One Stop Center di alamat Unit 1 & 2A, 2B,, Level 2, Stesen Sentral Kuala Lumpur, 50470 Kuala Lumpur. Kemudahan perkhidmatan kaunter berpusat yang disediakan kepada pelanggan di KL Sentral adalah:-
- Pertanyaan dan Aduan
- Rundingcara
- Bayaran balik pinjaman
- Pembukaan akaun SSPN
- Penambahan deposit SSPN
- Kemudahan capaian internet bagi menjalankan aktiviti berkaitan dengan PTPTN.
Waktu operasi adalah setiap hari kecuali Sabtu, Ahad dan Cuti Umum mulai jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang.
Soalan?
Jika masih memerlukan rujukan terperinci berkenaan dengan pinjaman PTPTN boleh rujuk di laman web rasmi PTPTN atau hubungi
PERBADANAN TABUNG PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL (PTPTN)
Lot G2, Tingkat Bawah
Wisma Chase Perdana
Off Jalan Semantan
Damansara Heights
50490 Kuala Lumpur
Hotline: 03-2092 7788
Pinjaman/Biasiswa Mara: Semakan & Pembayaran
Bagi mereka yang mendapat pinjaman dan biasiswa MARA (Majlis Amanah Rakyat), selain daripada penyata pinjaman yang dihantar oleh MARA menerusi pos, anda juga boleh menyemak baki pinjaman dan penyata secara online di laman web MARA. Kemudahan ini membolehkan pengguna menyemak baki Biasiswa, Pinjaman Pelajaran, Pinjaman Komputer serta penyata tahunan semasa secara cepat dan tepat.
Untuk peminjam dan penerima biasiswa yang kali pertama melawat laman MARA tersebut, anda perlu mendaftar sebagai pengguna baru dengan memilih nama pengguna (username) dan kata kunci (password).
Selain daripada menyemak baki dan penyata, anda juga boleh membuat pembayaran balik secara online. Antara langkah pembayaran yang boleh digunakan untuk pembayaran pinjaman/biasiswa MARA ialah menerusi Maybank2u, BCB dan Bank Islam (BIMB). Kemudahan pembayaran online ini dinamakan MARA e-bayar. Malah e-bayar juga merangkumi bayaran sewa tapak niaga dan ruang kilang. Bayaran menerusi Maybank2u dan Bank Islam adalah RM1 manakala bayaran menerusi BCB adalah 50 sen sahaja.
Selain daripada pembayaran online, anda juga boleh membayar di kaunter BSN dan juga Bank Islam (BIMB) dengan mengisi slip pembayaran secara manual seperti proses deposit wang seperti biasa. Cara lain yang paling popular serta yang terawal diperkenalkan adalah kemudahan pembayaran menerusi kaunter Pos di cawangan cawangan utama di seluruh negara.
Kemudahan Mara e-bayar memberi peluang kepada penerima pinjaman MARA untuk membuat pembayaran dengan lebih mudah dan cepat. Untuk panduan mengenai semakan & pembayaran balik pinjaman sila lawati laman web rasmi MARA.
Biasiswa JPA-Jabatan Perkhidmatan Awam (eSILA)
Bagi mereka yang mengikuti pengajian peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di institusi pengajian tinggi, anda boleh melawat laman web eSila, yang memberi kemudahan penawaran biasiswa dan pinjaman, pembayaran dan semakan pembayaran, pemantauan, akademik, tuntutan dan penerimaan bayaran balik pinjaman pelajaran JPA. Melalui laman web ini juga, anda boleh mendapat kemaskini serta pengumuman terbaru, termasuk memuat turun borang borang yang berkaitan.


