2 Minggu Untuk Hantar Borang Cukai
Tinggal kira kira dua minggu lagi untuk rakyat Malaysia yang layak membayar cukai pendapatan untuk menghantar Borang BE 2008 kepada pejabat LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri).
Bagi mereka yang sebelum ini mengisi borang secara manual, LHDN telah menjelaskan mereka telah menghantar borang berkenaan ke alamat rumah mereka melalui pos. Ia telah dilakukan sejak Januari lalu. Manakala mereka yang sebelum ini mengisi borang cukai secara online menerusi eFiling, pejabat Hasil tidak lagi akan menghantar borang secara manual. Sebaliknya, mereka perlu sekali lagi menggunakan sistem eFiling untuk menghantar maklumat cukai pendapatan.
Sistem eFiling untuk tahun 2009 akan menggunakan nama (user ID) dan kata laluan (password) yang sama seperti tahun yang sebelumnya. Jika pengguna telah terlupa tentang nama dan kata laluan, mereka boleh mengunjungi pejabat Hasil yang terdekat untuk mendapat bantuan bagi mendapatkan kata laluan yang baru.
Tarikh akhir penghantaran untuk borang BE 2008 (untuk mereka yang bekerja tanpa sumber pendapatan dari bisnes) adalah 30 April 2009 manakala borang B 2008 (pendapatan melalui perniagaan) adalah 30 Jun 2009.
Peluang Kerjaya Bersama DBKL
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kini membuka peluang kepada calon calon yang berminat untuk mengisi beberapa jawatan kosong yang ditawarkan secara kontrak. Tarikh tutup permohonan adalah 21 April 2009.
3 jawatan yang kini boleh dipohon adalah Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), Pembantu Tadbir (Kewangan) dan juga Pembantu Penilaian. Secara amnya, semua calon hendaklah berumur 18 tahun ke atas serta memenuhi kriteria yang telah ditetapkan untuk setiap jawatan.
Borang permohonan boleh didapati di laman web rasmi DBKL. Maklumat lanjut jawatan kosong yand ditawarkan dan borang boleh di dapati di sini.
Semakan Permohonan Matrikulasi 17 April
Pelajar lepasan SPM yang membuat permohonan kemasukan ke program matrikulasi boleh menyemak status permohonan mereka bermula 17 April ini. Semakan boleh dilakukan secara online di laman web kementerian pelajaran (www.moe.gov.my) dengan memasukkan informasi pemohon seperti kad pengenalan dan angka giliran SPM.
Selain daripada secara online, pemohon juga boleh menyemak permohonan mereka menerusi khidmat SMS. Caranya agak mudah, iaitu dengan menaip MAT<jarak>no kad pengenalan dan menghantar SMS tersebut ke nombor 15888. Pemohon juga boleh menelefon di talian 03-8884 4100 setiap hari bekerja selepas 17 April, sebelum pukul 4 petang.


