3,000 Jawatan Kerajaan Untuk Graduan IT
Graduan dalam bidang IT mendapat sedikit khabar gembira apabila 3,000 jawatan kosong dalam kerajaan bakal diwujudkan buat mereka dalam masa terdekat. Ini adalah untuk membolehkan perlaksanaan penuh projek SchoolNet, yang bakal membuka peluang jawatan fasilitator kepada mereka yang berminat.
Fasilitator ini bertanggungjawab untuk memberi tunjuk ajar kepada guru dan juga pelajar dalam sektor teknologi maklumat, dan penggunaan internet.
Walaupun gaji yang bakal ditawarkan sebagai fasilitator ini hanya berjumlah RM1,000 sebulan, sedikit sebanyak graduan yang kini berdepan dengan kemelesetan ekonomi mempunyai pilihan yang jauh lebih baik daripada terus menganggur. Setidak tidaknya dengan memegang sebarang jawatan, mereka boleh mengasah kemahiran serta mendapat skil skil baru sebelum mendapat kerja lain.
Graduan dinasihatkan untuk tidak terlalu memilih kerja dalam waktu waktu yang tidak menentu ini untuk mengelakkan mereka terus terpinggir dalam alam pekerjaan.
Program SchoolNet bertujuan untuk menyediakan kemudahan internet jalur lebar kepada sekolah sekolah di seluruh Malaysia, dan dijangka akan dinikmati sehingga 10,000 sekolah dalam beberapa tahun akan datang. Buat masa ini, SchoolNet telah berjaya dilancarkan di sekolah sekolah bistari dan juga di cluster schools.
Program fasilitasi ini akan bermula pada bulan Jun 2009, dan pemilihan calon akan dilakukan oleh beberapa pihak kerajaan, yang akan bermula mengiklankan kekosongan jawatan dalam masa yang terdekat.


