Pendapatan Sheikh Muszaphar Disiasat

November 20, 2008 · Filed Under Kerjaya · 3 Comments 

Pendapatan angkasawan pertama negara, Dato’ Sheikh Muszaphar Shukor, kini disiasat oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berikutan pendedahan daripada sebuah laman web yang mendakwa Sheikh Muszaphar menerima bayaran RM1.2 juta sejak setahun lepas.

Menurut sumber itu lagi, pendapatan lebih satu juta tersebut diperolehi dalam siri ucapan dan syarahan kepada 150 syarikat korporat dengan kadar bayaran RM8,000 sejam.

Dalam menjawab pendedahan tersebut, Sheikh Muszaphar mengaku menerima sumbangan daripada beberapa pihak tetapi menafikan bahawa nilai yang diterimanya mencecah hingga RM8,000 sejam. Beliau menambah bahawa beliau sudah memberikan penjelasan kepada kementerian, yang berpuas hati dengan hasil perbincangan antara kedua dua pihak.

Sheikh Muszaphar kini terikat dengan perjanjian dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sehingga penghujung tahun ini, di mana beliau diberi tanggungjawab untuk mengadakan ceramah dan ucapan kepada pelajar pelajar sekolah serta syarikat korporat serta berkongsi pengalaman beliau menjadi rakyat pertama dari Malaysia yang mencecah kaki ke angkasa lepas. Beliau menerima gaji RM5,000 sebulan.

Pameran Kerjaya Pulau Pinang 2008

November 11, 2008 · Filed Under Kerjaya, Perniagaan · 1 Comment 

Pameran Kerjaya Pulau Pinang (Penang Career Expo 2008) bakal kembali bagi tahun 2008 dan akan dianjurkan buat kali ke-5 oleh PenExpo Sdn Bhd. Ia akan berlangsung dari 29 hingga 30 November 2008 dan bertempat di Penang International Sports Arena (PISA), Bayan Baru, Pulau Pinang. Pengunjung boleh mengunjungi PISA seawal jam 10 pagi dan akan berakhir pada pukul 6 petang.

Selain daripada pameran kerjaya, satu lagi acara, iaitu Pameran Graduan Sarjana (Postgraduate Expo) yang akan memberi maklumat dan pendedahan berguna kepada pelajar yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sarjana atau doktor falsafah di institusi pengajian tinggi di dalam dan juga di luar negara.

Lebih 5,000 peluang pekerjaan dijangka akan ditawarkan oleh syarikat syarikat swasta, badan berkanun dan juga jabatan jabatan perkhidmatan awam (public service). Antara syarikat gergasi yang bakal memeriahkan Pameran Kerjaya Pulau Pinang 2008 adalah Intel, Motorola, Avago Technologies, DHL, Carsem, Continental, JobsDb, JobStreet.com, Maxis, Mesiniaga, Bank Negara Malaysia (BNM) dan banyak lagi.