Dian dan Ain di Akhir The Firm Musim Kedua
The Firm (NTV7) musim kedua sudah sampai ke penghujungnya dan kini tinggal dua peserta lagi yang tinggal. Kedua dua peserta ini, Dian dan Ain bakal berentap pada peringkat akhir yang bakal disiarkan di NTV7 pada 25 Oktober ini untuk memengangi hadiah utama berupa hadiah bernilai RM100,000 dan peluang ditawarkan bekerja dengan syarikat korporat Tune Money.
Jika musim pertama menampilkan persaingan akhir antara dua orang pemuda, musim ke-2 kali ini berbeza pula, dengan kedua dua peserta akhir adalah wanita yang juga isteri dan ibu kepada beberapa orang anak.
Keputusan pemilihan juara akan dibuat oleh Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Tune Money, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan peribadi, iaitu Tengku Zafrul Aziz. Tengku Zafrul mengambil alih tugas sebagai pemutus kata suara daripada 2 orang ketua pasukan, iaitu Peter Pek dan Chan Boon Yong pada pertengahan rancangan realiti tersebut.
Rancangan The Firm, yang diberi jolokan The Apprentice Versi Malaysia menampilkan sekumpulan anak muda yang berentap sesama sendiri dalam beberapa siri tugasan bisnes dan profesional bagi menonjolkan kemampuan mereka bersaing dalam dunia korporat. Pada awalnya, peserta dibahagikan kepada dua kumpulan dan setiap minggu, salah seorang ahli kumpulan yang kalah akan disingkarkan.
Musim pertama The Firm sebelum ini dimenangi oleh Joeh Neoh, iaitu peserta termuda di antara peserta peserta lain yang bertanding.
Nescafe Kick-Start Musim Ke-5
Rancangan realiti popular Nescafe Kick-Start yang menampilkan usahawan muda dan berbakat, kembali dengan musim baru, iaitu musim ke-5. Setelah 4 musim ditayangkan di televisyen, musim terbaru ini membawa kelainan kerana akan berlangsung secara online.
Rancangan tersebut kini dalam proses menerima permohonan daripada mereka yang berminat dan akan berlangsung hingga ke puncak program yang akan berakhir pada 7 Mac 2009, iaitu 5 bulan dari sekarang.
20 Juta Rekod Pencen di Jepun Hilang
Kerajaan Jepun kini dilanda kemelut setelah mendapati terdapat kira kira 20 juta rekod pencen pekerja di negara itu tidak dipadankan dengan penama yang sepatutnya. Masalah tersebut bermula pada tahun lepas apabila lebih 60 juta akaun pencen gagal menghubungkan dengan pemiliknya yang sah.
Pelbagai usaha telah dilakukan sejak dari tahun lepas, namun sehingga kini, hanya 60% daripada masalah tersebut selesai, manakala 40% menghadapi risiko tidak mendapat bayaran pencen yang sepatutnya. Daripada 20 juta rekod yang masih hilang, separuh daripadanya tidak pernah direkodkan dalam sistem komputer, menjadikan masalah tersebut semakin rumit.


