Panduan Kemasukan Ke MRSM 2008
Majlis Amanah Rakyat (MARA) membuka tawaran kepada pelajar tahun 6 yang mengambil UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) pada tahun 2007 untuk memohon kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sesi 2008 (bagi yang bersekolah di Semenanjung sahaja).
Tawaran kemasukan dibuka kepada Bumiputra Tahun Enam atau Bukan Bumiputra Tahun Enam yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Rendah Kebangsaan. Semua pemohon hendaklah memperolehi keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007.
Untuk memohon, pemohon (atau ibu bapa) hendaklah datang sendiri ke Pejabat MARA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Negeri atau Daerah yang berdekatan untuk mendapatkan borang rasmi permohonan. Setiap pemohon dikehendaki mengemukakan salinan surat beranak serta salinan keputusan UPSR 2007 yang telah disahkan. Setiap borang berharga RM5 dan bayaran boleh dibuat secara tunai atau dalam bentuk wang pos berpalang atas nama Majlis Amanah Rakyat (MARA). Tarikh tutup jualan borang adalah 10 hari bekerja selepas keputusan UPSR diumumkan.
Borang permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah dikembalikan ke alamat berikut:
Pengarah
Bahagian Pendidikan dan Latihan (Menengah)
Tingkat 19, Ibu Pejabat MARA
21, Jalan Raja Laut
50609 Kuala Lumpur
Hanya permohonan lengkap sahaja yang diproses. Keutamaan akan diberikan kepada calon yang aktif dalam kegiatan ko-kurikulum, kepimpinan, sukan, kelab dan persatuan. Mereka yang berasal daripada golongan berpendapatan rendah juga bakal diberi keutamaan. Mereka yang sudah ditawarkan kemasukan ke Sekolah Berasraman Penuh (SBP) tidak akan ditawarkan ke MRSM.
Hanya pemohon yang berjaya sahaja akan dihubungi. Jika tiada jawapan daripada pihak MARA pada 30 April 2008, ini bermakna permohonan anda tidak berjaya.


