Pinjaman/Biasiswa Mara: Semakan & Pembayaran
Bagi mereka yang mendapat pinjaman dan biasiswa MARA (Majlis Amanah Rakyat), selain daripada penyata pinjaman yang dihantar oleh MARA menerusi pos, anda juga boleh menyemak baki pinjaman dan penyata secara online di laman web MARA. Kemudahan ini membolehkan pengguna menyemak baki Biasiswa, Pinjaman Pelajaran, Pinjaman Komputer serta penyata tahunan semasa secara cepat dan tepat.
Untuk peminjam dan penerima biasiswa yang kali pertama melawat laman MARA tersebut, anda perlu mendaftar sebagai pengguna baru dengan memilih nama pengguna (username) dan kata kunci (password).
Selain daripada menyemak baki dan penyata, anda juga boleh membuat pembayaran balik secara online. Antara langkah pembayaran yang boleh digunakan untuk pembayaran pinjaman/biasiswa MARA ialah menerusi Maybank2u, BCB dan Bank Islam (BIMB). Kemudahan pembayaran online ini dinamakan MARA e-bayar. Malah e-bayar juga merangkumi bayaran sewa tapak niaga dan ruang kilang. Bayaran menerusi Maybank2u dan Bank Islam adalah RM1 manakala bayaran menerusi BCB adalah 50 sen sahaja.
Selain daripada pembayaran online, anda juga boleh membayar di kaunter BSN dan juga Bank Islam (BIMB) dengan mengisi slip pembayaran secara manual seperti proses deposit wang seperti biasa. Cara lain yang paling popular serta yang terawal diperkenalkan adalah kemudahan pembayaran menerusi kaunter Pos di cawangan cawangan utama di seluruh negara.
Kemudahan Mara e-bayar memberi peluang kepada penerima pinjaman MARA untuk membuat pembayaran dengan lebih mudah dan cepat. Untuk panduan mengenai semakan & pembayaran balik pinjaman sila lawati laman web rasmi MARA.


